Stay tuned for upcoming events and campaigns!
Oct 20, 2026
By

RIUH MERDEKA KEMBALI RAIKAN SENI DAN KREATIVITI SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2026

BLOG

KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2026 – Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative

Ventures Sdn. Bhd. (“MyCreative”) akan menganjurkan RIUH Merdeka Edisi Ke-2

sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 pada Ahad, 30 Ogos 2026 bermula jam

2.00 petang hingga 4.00 pagi, dan diteruskan pada Isnin, 31 Ogos 2026 dari jam

8.00 pagi hingga 2.00 petang, bertempat di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru,

Putrajaya.

‍

Sebagai acara sisipan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026, RIUH Merdeka

meraikan semangat patriotisme dan menjadi wadah menghimpunkan masyarakat

menghayati kreativiti, budaya dan semangat kebersamaan. Acara ini turut

menyediakan platform untuk penggiat seni, penghibur serta usahawan tempatan

mengetengahkan bakat dan hasil karya mereka, di samping memperluaskan jaringan

profesional para penggiat dan usahawan.

‍

Edisi kali ini dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung dengan penyertaan 30

vendor makanan dan minuman (F&B) yang menawarkan pelbagai hidangan

tempatan, dengan Drinho selaku penaja Zon Makanan dan Minuman. Turut

mengambil bahagian ialah pelbagai pempamer seperti Kumpulan Wang Simpanan

Pekerja (KWSP), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), dan

lain-lain. Pelbagai aktiviti menarik disediakan, termasuk bengkel kreatif, aktiviti

kanak-kanak, permainan tradisional, tayangan filem khas oleh FINAS, aktivasi

kreatif, pertunjukan kapal terbang “Melukis Senja” oleh AeroTree serta instalasi

seni “Serumpun Jiwa” karya Faizal Suhif yang mengangkat tema perpaduan dan

identiti Malaysia. Acara ini bakal dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal

tanah air seperti Ernie Zakri, Anuar Zain, Hafiz Suip, Noraniza Idris, Ruffedge,

Arunboii, Naungan dan Groove Society X Dhol Riderz. Kemuncak sambutan

Ambang Merdeka akan diserikan dengan Kira Detik Merdeka dan pertunjukan

bunga api.

‍

RIUH Merdeka menawarkan pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan, malah

memperkukuh semangat perpaduan, memperkasa usahawan, penggiat seni dan

bakat tempatan dalam merancakkan ekosistem industri kreatif negara. Orang

ramai dijemput hadir bagi menikmati pelbagai aktiviti dan pengalaman menarik

sepanjang RIUH Merdeka berlangsung. Masuk adalah percuma.

Maklumat lanjut mengenai RIUH Merdeka boleh diperoleh menerusi platform

Facebook, Instagram dan TikTok @riuhinthecity serta @mycreativeventures

‍